Tuesday 2 October 2012

Keldai Dadah Perlu Ditangani Dengan Berhemah ole


Kes rakyat Malaysia ditipu, diperdaya dan dijadikan sebagai keldai dadah terus meningkat dan mula mencetuskan kebimbangan. Masyarakat mula risau, jika suami, isteri ataupun anak menjadi mangsa seterusnya walaupun pendedahan demi pendedahan dibuat baik dalam media massa mahupun melalui media cetak berkaitan kes keldai dadah yang melibatkan rakyat Malaysia yang ditipu, diperdaya, ditangkap dan meringkuk dalam penjara di luar negara. Walau bagaimanapun, situasi ini masih belum mencukupi untuk menyedarkan dan menginsafkan rakyat kita.
Keldai dadah merujuk seseorang yang secara rela ataupun diperdaya untuk menjadi pembawa dadah ataupun pelbagai barang seludup yang lain secara haram dan tersembunyi ke negara lain. Kebiasaannya, kegiatan ini melibatkan sindiket antarabangsa yang mempunyai rangkaian perhubungan yang luas dalam merekrut mangsa untuk dijadikan keldai dadah.

 Sindiket yang bijak merancang dan mengambil peluang terhadap mangsa yang naif, menggunakan taktik ini kerana mampu mengurangkan risiko pengedar atau penyeludup dadah terbabit tertangkap. Antara kaedah penyeludupan yang biasa dilakukan termasuklah menyembunyikan barang di dalam kenderaan, bagasi atau pakaian, mengikat pada badan ataupun lebih dahsyat lagi apabila ada yang sanggup menelannya.

Antara lokasi rakyat Malaysia pernah ditahan termasuklah di Itali, Sepanyol, Peru dan Jepun. Pihak Kementerian Luar baru-baru ini mendedahkan bahawa seramai 72 rakyat Malaysia ditahan pihak berkuasa China kerana cuba membawa masuk dadah, dengan kes paling banyak berlaku di Ghuangzou, iaitu sebanyak 33 kes. Yang lebih malang dan mendukacitakan kita ialah apabila sebahagian besar daripada mangsa yang ditahan itu mendakwa mereka tidak mengetahui dadah yang dirampas berada dalam simpanan mereka ketika ditahan di lapangan terbang.

Yang menjadi persoalan di sini ialah apakah punca utama yang menyumbang kepada kejadian yang semakin meningkat dan membimbangkan ini? Kenapa rakyat kita, baik wanita mahupun lelaki begitu mudah terpedaya dan tertipu dengan sindiket seperti ini? Jika kita mengkaji dan meneliti latar belakang setiap individu rakyat kita yang terlibat dalam gejala ini ternyata majoritinya ialah golongan belia dan kaum wanita.

Hal ini menunjukkan bahawa antara punca utama kepada kejadian ini ialah tahap pemikiran dan kematangan mereka yang masih lemah dan mudah tertipu atau diperdaya. Golongan ini begitu mudah terpengaruh dengan sogokan kata-kata manis dan kekayaan yang dijanjikan melalui keuntungan jangka pendek yang mudah tanpa memikirkan soal kesan dan implikasi kepada diri sendiri dan juga keluarga jika tertangkap kelak. Mereka mudah percaya kepada orang luar atau asing yang baru dikenali yang menjanjikan kekayaan dan pendapatan luar biasa.

Wanita Malaysia terlalu mudah termakan pujuk rayu lelaki hidung belang yang bijak memancing dan menggoda dengan kata-kata sayang dan cinta di samping menjanjikan pulangan kekayaan yang lumayan.

Bagi rakyat kita yang membuat kerja ini dalam keadaan sedar, sikap tamak untuk menjadi kaya dengan cepat, segala nasihat dan pendedahan mengenai kes ini tidak dipedulikan dan diambil kisah.

Yang lebih merisaukan ialah golongan yang diperdaya ataupun ditipu untuk membuat kerja ini kerana masih banyak mangsa yang terjerat, mengadu mereka langsung tidak sedar dipergunakan ataupun diperdaya menjadi keldai dadah.

Mereka hanya sedar apabila mereka ditahan dan ditangkap di lapangan terbang ataupun di negara luar oleh pihak berkuasa tempatan. Kejadian sebegini bukan sahaja mengundang malapetaka kepada masa depan rakyat yang tertangkap kerana berhadapan dengan hukuman yang berat termasuklah hukuman gantung, malah hal ini memalukan dan mengaibkan keluarga serta menjejaskan nama baik negara secara menyeluruh.

Oleh itu, sudah menjadi tanggungjawab semua pihak terutamanya anggota keluarga dan ahli masyarakat memainkan peranan yang lebih aktif untuk membendung gejala ini daripada terus berleluasa.

Hal ini penting kerana pihak berkuasa, baik polis mahupun kementerian yang berkaitan, seperti Kementerian Luar dan juga Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah dan sedang memainkan   peranan mereka dengan aktif dalam usaha mendidik dan menyedarkan rakyat kita daripada terjerumus ke kancah seperti ini.

Malah, mereka jugalah yang bersusah payah untuk membebaskan rakyat kita yang ditangkap di luar negara selama ini. Maka, apa-apa yang diperlukan sekarang ialah komitmen anggota keluarga dan ahli masyarakat dalam aspek mendidik, menjaga dan menyedarkan baik suami, isteri mahupun anak mereka supaya tidak mudah terpedaya.

Hal ini dikatakan demikian kerana kelompok inilah yang paling rapat dengan mangsa dan paling berpeluang untuk mempengaruhi segala tindak tanduk mereka terutamanya dalam menjejak segala aktiviti yang mereka lakukan sepanjang masa.


 
Semoga komitmen dan kerjasama daripada semua pihak yang terlibat ini dapat mengurangkan dan seterusnya mengatasi secara keseluruhan gejala yang kurang sihat seperti ini.

Oleh Noor Mohamad Shakil Hameed (http://dwnmasyarakat.dbp.my/?p=1904) 




0 comments:

Post a Comment