Hadi bersekolah di Sekolah Kebangsaan Nirwana. Dia seorang murid yang pintar dalam pelajaran di sekolahnya. Hadi ialah anak tunggal dalam sebuah keluarga yang sederhana. Dia sering ditinggalkan bersendirian kerana ibu bapanya sibuk dengan urusan di luar. Dunianya cuma di rumah, bertemankan buku-buku dan bermain komputer.
Sesekali, dia bermain basikal di kawasan rumahnya. Hadi senang dengan kehidupan sedemikian. Pada suatu malam, ibu bapa Hadi tiada di rumah kerana menghadiri majlis kenduri. Kawan sekolah Hadi bernama Karim datang mengajaknya keluar berjalan-jalan tetapi Hadi menolak pelawaan tersebut.
Karim terus memujuk Hadi. Setelah dipujuk berkali-kali, akhirnya Hadi bersetuju untuk keluar mengikut Karim berjalan-jalan. Setiba sahaja mereka di persimpangan jalan, Karim mengajak Hadi untuk melepak bersama kawan-kawannya yang telah sedia menunggu di sebuah pondok di situ. Sebenarnya, Karim dan kawan-kawannya mem-punyai niat jahat terhadap Hadi. Minuman yang disediakan untuk Hadi telah dicampurkan dengan sejenis dadah berbahaya yang dicuri daripada abang Karim yang sememangnya seorang penagih dadah.
Tanpa mengetahui niat sebenar Karim, Hadi terus meneguk minuman tersebut. Tidak lama selepas itu, Hadi mula berkhayal dan meracau-racau. Dengan tidak disangka-sangka, sebuah kereta peronda melalui simpang tersebut. Karim dan rakan-rakannya lari bertempiaran menyelamatkan diri, meninggalkan Hadi sendirian.
Kereta peronda polis berhenti di tepi pondok tersebut apabila melihat keadaan Hadi yang mencurigakan. Hadi yang sedang khayal ditangkap dan dibawa ke balai polis untuk disoal siasat. Ibu bapa Hadi dipanggil ke balai polis untuk membantu siasatan.
Pihak polis mendapati bahawa Hadi telah dianiayai oleh rakan-rakannya. Hadi dibebaskan dengan syarat dia diletakkan di bawah pengawasan ibu bapanya.
Pada keesokan hari, Karim, rakan-rakannya dan ibu bapa mereka telah dipanggil ke balai polis untuk memberi keterangan. Mereka didapati bersalah.
Abang Karim pula telah diberkasoleh pihak polis dan dihantar ke pusat pemulihan. Ibu bapa mereka berasa amat malu dan berjanji akan memastikan anak mereka berkelakuan baik. Hadi berasa amat kesal kerana terpengaruh dengan ajakan Karim.
Namun, ibu bapa Hadi tetap memberikan sokongan kepadanya dan mereka berjanji tidak akan meninggalkannya bersendirian di rumah. Hadi amat bersyukur kerana dia terselamat daripada terjebak dengan najis dadah.
Kesimpulannya, kita perlu berhati-hati memilih kawan dan setiap perbuatan pasti akan menerima balasan yang setimpal.
0 comments:
Post a Comment